Dengan akalnya, manusia diberi keistimewaan oleh Allah yang berbeza dengan haiwan, selain spesifikasi yang sama dengan haiwan, seperti keperluan jasmani dan naluri. Disebabkan nalurinya, manusia memerlukan pemenuhan. Tidak terkecuali dengan naluri beragama (gharîzah at-tadayyun) yang ada dalam dirinya. Semuanya menuntut untuk dipenuhi. Dalam hal ini tidak ada bezanya antara manusia dengan makhluk lain. kerana yang lain juga mempunyai naluri beragama seperti manusia. Allah Swt. dalam Al-Quran berfirman,
وَاِنْ مِّنْ شَيْءٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهٖ وَلٰكِنْ لَّا تَفْقَهُوْنَ تَسْبِيْحَهُمْۗ اِنَّهٗ كَانَ حَلِيْمًا غَفُوْرًا
“Dan segala sesuatu itu tidak ada, kecuali bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak akan dapat memahami bagaimana cara mereka bertasbih.” [TMQ Al-Isrâ’ (17): 44]
اَلَمْ تَرَ اَنَّ اللّٰهَ يُسَبِّحُ لَهٗ مَنْ فِى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ وَالطَّيْرُ صٰۤفّٰتٍۗ
“Tidakkah kamu melihat bagaimana kepada Allah bertasbih langit dan bumi serta burung-burung dengan berbaris.” [TMQ An-Nûr (24): 41]
Semua makhluk diberi spesifikasi yang sama dengan manusia. Mereka juga melakukan pemenuhan yang dinyatakan oleh Al-Quran dengan “bertasbih” kepada-Nya. “Bertasbih” tersebut merupakan bukti adanya naluri beragama; dengan keinginan untuk menyucikan sesuatu yang diyakini, bahawa Dialah Sang Pencipta. Penyucian ini kadang kala menampakkan sesuatu yang hakiki, yang biasanya disebut “ibadah”. Tetapi kadang kala bentuk pensucian tersebut hanya merupakan penampakan minimal, seperti ta’dhîm dan penghormatan.
Oleh kerana itu semua makhluk pada dasarnya beribadah kepada Allah Swt. meskipun kita tidak dapat memahami cara peribadatannya. Ini membuktikan bahawa ibadah merupakan keperluan setiap makhluk, kerana ia merupakan sebahagian dari fitrah mereka. Penyucian (takdîs), baik yang berkaitan dengan ta’abbud (ibadah), ihtirâm (penghormatan), mahupun ta’dhîm, esensinya merupakan manifestasi dari naluri beragama (gharîzah at-tadayyun), dan bukannya manifestasi dari naluri mempertahankan diri (gharîzah al-baqâ’). Hal ini kerana jika aktiviti tersebut merupakan manifestasi dari gharîzah al-baqâ’ pasti mereka tidak akan mendekat untuk beribadah, hormat, dan ta’dhîm. Sebaliknya mereka akan melarikan diri dari zat yang mereka takuti.
Oleh kerana itu, agama merupakan keperluan manusia sepanjang sejarah kehidupan umat manusia. Bahkan belum pernah ada satu zaman pun, ada manusia yang hidup tanpa memeluk agama, baik dengan cara menyembah matahari, bintang, api, berhala, mahupun menyembah Allah. Cara penyembahan tersebut merupakan bahagian dari agama mereka, sehingga belum pernah ada satu zaman pun di mana manusia tidak menyembah sesuatu. Ini ertinya penganut sosialisme yang menolak agama dan tuhan, sebenarnya bukan tidak mempunyai tuhan, tetapi mereka telah mengganti tuhan dari satu wujud tuhan kepada wujud tuhan lain alias materi, yang mengubah ta’dhîm dan taqdîs-nya dari tuhan kepada pahlawan atau hal-hal yang diagungkan. Dengan demikian, agama bagi manusia merupakan keperluan yang diperlukan oleh nalurinya.
Jika tidak dipenuhi, kehidupannya akan mengalami kegelisahan, kegoncangan, dan kekacauan. Oleh itu, memeluk agama merupakan fitrah manusia. Masalahnya kemudian siapakah yang berhak menurunkan agama yang dapat mengatur keperluan naluri keberagamaan manusia? Kerana naluri beragama memerlukan pemenuhan yang berkaitan dengan Zat Yang Maha Agung (Allah Swt.), maka mekanisme pemenuhan nya mesti berasal dari Allah Swt.. Sebab Dialah Yang Maha Tahu mengenai diri-Nya dan ciptaan-Nya. Pada waktu yang sama, hal ini mustahil diserahkan kepada manusia. kerana manusia bukan saja gagal memahami dirinya dan sesamanya, apalagi memahami zat Tuhannya. Oleh sebab itu sangat mustahil aturan agama ini dibuat oleh manusia. Perasaan kurang, lemah, dan kerdil manusia di hadapan Zat Yang Maha Agung ini kemudian mendorongnya mangagungkan Zat Yang Maha Agung dalam beribadah.
Dorongan seperti ini sesungguhnya bukan hanya dimiliki oleh manusia ketika beribadah kerana hal ini merupakan fitrah, sementara fitrah di mana dan bila-bila saja tetap sama, tidak pernah berubah. Meskipun perasaan yang lahir dari fitrah tersebut dapat dialihkan kepada yang lain. Oleh kerana itu, di luar ibadah pun manusia sebenarnya tetap memerlukan agama yang sesuai dengan fitrahnya yang lemah, kurang, dan memerlukan Zat Yang Maha Agung. Oleh yang demikian, keperluan manusia pada agama tersebut mustahil dapat dipenuhi dengan agama lain, selain agama yang diturunkan oleh Zat Yang Maha Tahu dan Agung. Dialah Allah Swt..
Di sinilah rasionalitinya; mengapa manusia memerlukan agama, dan mengapa agama tersebut mesti berasal dari Allah Swt. dan bukan yang lain? Di samping rasionaliti di atas, agama memang sengaja diturunkan oleh Allah Swt. kepada makhluk-Nya yang berakal, yang telah dijadikan-Nya sebagai khalîfah fi al-ardh. Satu-satunya makhluk yang bersedia menerima amanat yang tidak sanggup dipikul oleh gunung, langit, dan bumi. Agama inilah yang kelak akan dijadikan sebagai standard (tolok ukur) di akhirat. Di sisi lain, Allah Swt. telah menjadikan keistimewaan akal manusia sebagai manâth taklîf (realiti yang menyebabkannya diberi tanggung jawab) sehingga dapat memilih antara memeluk dan meninggalkan agama. Dengan itu, Allah Swt. akan meminta pertanggungjawaban manusia terhadap akalnya,
اِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ اُولٰۤىِٕكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔوْلًا
“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan akal fikiran (manusia), semuanya itu akan dimintai pertanggungjawaban.” [TMQ Al-Isrâ’ (17): 36] .
